Telefon Bimbit Medium Iklan

Oleh Afiq Hanif
mafiq@hmetro.com.my
SALAH satu strategi pemasaran terbaik syarikat atau organisasi untuk menyampaikan mesej kepada umum ialah melalui iklan yang menjadi medium terpenting untuk menjual barangan.

Iklan sering dipertontonkan, diperlihatkan atau diperdengarkan melalui televisyen, akhbar atau radio namun kini ia meluas sehingga menyusup ke pelbagai ruang lingkup.

Kemajuan telefon bimbit memungkinkan segalanya berlaku. Titik evolusinya yang bermula sekadar untuk bercakap sehingga khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan multimedia (MMS) dan generasi ketiga (3G), membuka mata pengiklan mengambil peluang terhidang.

Tentu sekali bagi syarikat atau organisasi, iklan melalui melalui telefon bimbit memiliki cirinya tersendiri untuk menyampaikan maklumat berkaitan kepada pengguna.

Pertambahan penggunaan telefon bimbit merancakkan penghantaran SMS atau MMS kepada pengguna terutama di Asia.

Antara syarikat bertanggungjawab menyediakan platform iklan kepada 22 negara seluruh dunia ialah Acision. Ia melakukan kajian terhadap 100 pelawat perdagangan di CommunicAsia 2007, baru-baru ini mendapati industri bersedia menerima salah satu bentuk pengiklanan itu.

Maklum balas mendapati pengiklan kini mahu telefon bimbit sebagai platform baru untuk mendekatkan mereka dengan sasaran pelanggan selain menambah kesedaran terhadap jenama ditawarkan.

Pengarah Urusan Acision Asia Pasifik, Boudewijn Pesch, berkata jenama global mencari platform mobiliti berikutan pertumbuhan memberangsangkan dalam telefon bimbit.

“Sebanyak 71 peratus responden di rantau ini menyatakan mereka menerima mesej berbentuk teks dan iklan multimedia melalui peralatan mobiliti mereka,” katanya.

Beliau berkata, 32 peratus daripada nilai itu memaklumkan mereka menerimanya sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

“Telefon bimbit menjadi sebahagian hidup untuk penduduk Asia Pasifik di mana kestabilan statistik pasaran seperti China, India, Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan.

“Secara tidak langsung, mekanisma pengiklanan semakin baik untuk diteroka,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat pendapat yang menyatakan operator perlu faham jenis produk atau perkhidmatan memenuhi kehendak pelanggan untuk mendapatkan sasaran sesuai.

Cabarannya bermula dengan teknologi itu sendiri seperti pengurusan pintar pelanggan yang memerlukan pembekal perkhidmatan iklan bekerja rapat dengan pengiklan bagi memastikan kejayaan kempen mereka.

Mengikut kajian penyelidik AC Nielsen, terdapat 8.3 juta pengguna telefon bimbit (rekod untuk 15 tahun ke atas) di negara ini pada 2006.

Daripada jumlah itu, 4.8 juta adalah pengguna lelaki berbanding wanita seramai 3.6 juta. Jika dilihat dari segi umur pengguna, enam juta terdiri daripada mereka yang berumur 15 hingga 39 tahun.

Jumlah itu membuktikan strategi pemasaran menggunakan telefon bimbit amat penting untuk menyampaikan mesej.

Adakah jumlah 8.3 juta pengguna telefon bimbit itu sasaran sebenar pengiklan?

Tentu tidak. Iklan di telefon bimbit memerlukan penelitian yang telus dan mendalam. Ia memerlukan segmen untuk mencapai sasaran berdasarkan produk atau perkhidmatan tersendiri.

Iklan melalui telefon bimbit adalah menyokong terhadap promosi untuk meningkatkan kesedaran mengenai jenama produk dan perkhidmatan.

Tidak mudah untuk mendapatkan maklumat pengguna terutama nombor telefon bimbit kerana kita menganggap ia berbentuk peribadi.

Syarikat memerlukan data pengguna untuk mengambil tindakan susulan selepas pembelian. Contohnya pasar raya besar meminta maklumat peribadi pembeli agar mereka dapat menghantar promosi tertentu tetapi pengguna pasti tidak mudah memaklumkan perkara itu.

Pengarah Media, Perunding Pakar Media Sdn Bhd, Raja Zulkarnain Shah Raja Izhar, berkata terdapat banyak faktor untuk memungkinkan kejayaan mesej melalui telefon bimbit.

“SMS dan MMS berbentuk iklan boleh membosankan orang ramai apatah lagi ia amat terhad kerana tidak banyak perkataan yang boleh dimasukkan,” katanya.

Menurutnya, pengguna inginkan iklan yang boleh dilihat dengan jelas seperti di akhbar atau televisyen berbanding di telefon bimbit mereka.

“Jika mesej melalui telefon bimbit itu bertujuan mencipta kesedaran atau makluman, ia mungkin berjaya berbanding iklan mengajak orang datang ke kedai membeli produk,” katanya.

Katanya, pengiklan perlu tahu sasaran mereka dengan jelas untuk menyampaikan maklumat dengan berkesan selain perlu sokongan medium lain untuk berjaya.

“Iklan dalam telefon bimbit menyokong apa yang ada di televisyen atau akhbar, bukan iklan utama,” katanya.

Katanya, kejayaan Akademi Fantasia yang mengumpul jutaan ringgit melalui SMS adalah menyokong program realiti itu sendiri.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pengiklanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairuddin Othman, berkata bentuk pengiklanan melalui telefon bimbit kurang efektif di Malaysia.

“Ia tidak mampu menarik minat orang ramai untuk membeli produk apatah lagi informasi terkandung dalamnya tidak cukup meyakinkan,” katanya.

Menurutnya, mesej yang disampaikan terhad kerana berbentuk perkataan walaupun pengguna telefon bimbit di Malaysia meningkat saban hari.

“Jika kita memberikan iklan bergambar, ia menyempitkan ruang untuk SMS. Malah imej dipaparkan tidak cukup besar untuk menarik perhatian orang ramai,” katanya.

“Iklan sebegitu perlu ayat yang bersesuaian selain topik yang tepat. Contohnya, pengguna perlu menelefon nombor tertentu untuk mendapatkan maklumat tambahan,” katanya.

Khairuddin berkata, walaupun pengiklan mensasarkan pengguna tertentu, ia masih belum mampu melawan medium lain seperti majalah khas yang lebih mempunyai ruang untuk menyampaikan maklumat.

“Iklan dalam telefon bimbit belum berjaya melainkan ia mempunyai ruang besar untuk menampilkan imej atau video yang memberikan impak baik kepada pengguna,” katanya.

Beberapa perkara perlu diambil kira jika mahu menjadikan telefon bimbit medium pengantar maklumat kepada pengguna kerana ia mempunyai pro dan kontra.

Pengguna di Malaysia menganggap SMS atau MMS berbentuk iklan tidak boleh dipercayai seratus peratus, lihat saja penipuan melalui SMS oleh pihak tertentu mengenai Akademi Fantasia.

Rakyat di negara ini memerlukan pengiklanan bersifat fizikal di mana mereka dapat melihat dengan jelas apa yang ada depan mata untuk dihakimi.

Perlu diingatkan iklan di telefon bimbit sebagai medium menyokong, bukan medium utama seperti televisyen, radio, akhbar atau majalah.

Bagaimanapun, pengiklanan di telefon bimbit masih baru dan boleh diterokai. Tidak mustahil suatu hari nanti ia mampu menjadi media utama untuk menyalurkan mesej kepada pengguna berkaitan produk atau perkhidmatan.

Perniagaan Internet . Usahawan Internet is proudly powered by WordPressEntries (RSS) and Comments (RSS). • xMark Theme by: Lisa Sabin-Wilson