Perniagaan Internet Perlu Didaftarkan

400 usahawan menerusi talian dikenakan tindakan tidak daftar perniagaan

PULAU PINANG: Dalam tempoh dua tahun lalu kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap 400 individu yang menjalankan perniagaan menerusi Internet kerana tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

“Individu atau syarikat yang menjalankan perniagaan menggunakan laman web atau Internet sebenarnya tidak terkecuali dan mesti mendaftarkan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Amalan Perniagaan Beretika Zon Utara, di sini hari ini.

Katanya, langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada unsur penipuan selain memastikan peniaga mematuhi etika perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan juga menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sentiasa memantau laman web yang menjalankan perniagaan bagi mengesan pihak yang gagal mendaftarkan perniagaan mereka.

“Kita mahu golongan ahli perniagaan mempunyai kesedaran bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan kod etika yang harus dipatuhi supaya pengguna tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.-Bernama

Sumber : Harian Metro Online

Komen Sukeri.com : Kalau dulu ramai yang beranggapan perniagaan internet tidak perlu didaftarkan, hari ini jelas ia mendapat perhatian serius dari kerajaan. Jika anda masih belum mendaftarkannya lakukanlah segera sebelum pihak berkuasa dapat mengesan perniagaan internet anda yang tidak didaftarkan.

Kos pendaftaran SSM pastinya jauh lebih rendah berbanding risiko dikenakan tindakan. Download garis panduan bagaimana melakukan pendaftaran perniagaan di sini.

Bina Web Ecommerce (Kedai Online) Secara Percuma

Lama betul saya tak menulis di blog ini gara-gara memberikan fokus kepada perniagaan MLM secara online. Diam tak diam dah lebih setahun saya terlibat dan kini perniagaan tu dah semakin stabil dan mampu menjana pendapatan lima angka setiap bulan.

Tapi post kali ini bukanlah nak cerita pasal MLM, saya pun rasa berat nak kongsi kerana ramai yang negatif dengan MLM. Kali ini saya nak kongsikan tentang membina laman web e-commerce atau kedai online. Kedai online ni sesuai jika anda ada banyak produk untuk dijual dalam satu laman web.

Untuk membina kedai online biasanya memerlukan bajet yang tinggi kecuali anda mahir menggunakan script ecommerce percuma yang biasanya disediakan oleh syarikat hosting. Semasa melayari internet saya terjumpa laman web lot.my yang membolehkan anda membina kedai online secara percuma dengan hostingnya sekali.

kedai online percuma

Saya telah cuba menggunakan servis web based ini dan ianya memang mudah untuk membina kedai online. Dalam masa beberapa minit saja anda dah boleh ada kedai online sendiri. Saya dah buat satu di www.sukeri.lot.my

kedai online percuma

Belum dapat idea apa produk nak jual, saya letak dulu beberapa ebook resell rights yang saya miliki. Mungkin nanti boleh bantu isteri saya yang mempunyai perniagaan tudung untuk jualan tudung secara online. Dekat nak Raya ni produk macam tu memang laris.

Kalau anda ada produk yang nak dijual secara online tetapi kekurangan bajet bolehlah gunakan lot.my untuk membina kedai online anda sendiri. Buat masa ini ianya percuma 100% dan di masa akan datang mungkin akan diujudkan akaun premium yang memerlukan bayaran untuk ciri-ciri tambahan.

lot.my

Sumber : Utusan Malaysia

Harap web ini akan berkekalan kerana ianya pasti banyak membantu mengembangkan industri perniagaan internet di negara kita. Tahniah kepada team lot.my yang diketuai oleh Mohd. Akmal Akhpah serta rakan-rakannya Shahabudeen Jalil, Mohd Suhaimi Ramly, Khairul Anwar M. Zaki, Luqman Zulhusni Ismael dan Mohd Alif Nordin.

Jika anda dah berjaya buat kedai online, kongsi-kongsikanlah link web anda di bahagian komen.Panduan bagaimana untuk mula membina kedai online hanya dalam masa lima minit ada ditunjukkan di Blog Lot.my di sini.

Perniagaan Internet . Usahawan Internet is proudly powered by WordPressEntries (RSS) and Comments (RSS). • xMark Theme by: Lisa Sabin-Wilson