Panduan Membina Blog Dot Com Anda Sendiri. Sila Klik Di Sini
Powered by MaxBlogPress 
Disable Right Click & Select Text

Telefon Bimbit Medium Iklan

Oleh Afiq Hanif
mafiq@hmetro.com.my
SALAH satu strategi pemasaran terbaik syarikat atau organisasi untuk menyampaikan mesej kepada umum ialah melalui iklan yang menjadi medium terpenting untuk menjual barangan.

Iklan sering dipertontonkan, diperlihatkan atau diperdengarkan melalui televisyen, akhbar atau radio namun kini ia meluas sehingga menyusup ke pelbagai ruang lingkup.

Kemajuan telefon bimbit memungkinkan segalanya berlaku. Titik evolusinya yang bermula sekadar untuk bercakap sehingga khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan multimedia (MMS) dan generasi ketiga (3G), membuka mata pengiklan mengambil peluang terhidang.

Tentu sekali bagi syarikat atau organisasi, iklan melalui melalui telefon bimbit memiliki cirinya tersendiri untuk menyampaikan maklumat berkaitan kepada pengguna.

Pertambahan penggunaan telefon bimbit merancakkan penghantaran SMS atau MMS kepada pengguna terutama di Asia.

Antara syarikat bertanggungjawab menyediakan platform iklan kepada 22 negara seluruh dunia ialah Acision. Ia melakukan kajian terhadap 100 pelawat perdagangan di CommunicAsia 2007, baru-baru ini mendapati industri bersedia menerima salah satu bentuk pengiklanan itu.

Maklum balas mendapati pengiklan kini mahu telefon bimbit sebagai platform baru untuk mendekatkan mereka dengan sasaran pelanggan selain menambah kesedaran terhadap jenama ditawarkan.

Pengarah Urusan Acision Asia Pasifik, Boudewijn Pesch, berkata jenama global mencari platform mobiliti berikutan pertumbuhan memberangsangkan dalam telefon bimbit.

“Sebanyak 71 peratus responden di rantau ini menyatakan mereka menerima mesej berbentuk teks dan iklan multimedia melalui peralatan mobiliti mereka,” katanya.

Beliau berkata, 32 peratus daripada nilai itu memaklumkan mereka menerimanya sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

“Telefon bimbit menjadi sebahagian hidup untuk penduduk Asia Pasifik di mana kestabilan statistik pasaran seperti China, India, Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan.

“Secara tidak langsung, mekanisma pengiklanan semakin baik untuk diteroka,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat pendapat yang menyatakan operator perlu faham jenis produk atau perkhidmatan memenuhi kehendak pelanggan untuk mendapatkan sasaran sesuai.

Cabarannya bermula dengan teknologi itu sendiri seperti pengurusan pintar pelanggan yang memerlukan pembekal perkhidmatan iklan bekerja rapat dengan pengiklan bagi memastikan kejayaan kempen mereka.

Mengikut kajian penyelidik AC Nielsen, terdapat 8.3 juta pengguna telefon bimbit (rekod untuk 15 tahun ke atas) di negara ini pada 2006.

Daripada jumlah itu, 4.8 juta adalah pengguna lelaki berbanding wanita seramai 3.6 juta. Jika dilihat dari segi umur pengguna, enam juta terdiri daripada mereka yang berumur 15 hingga 39 tahun.

Jumlah itu membuktikan strategi pemasaran menggunakan telefon bimbit amat penting untuk menyampaikan mesej.

Adakah jumlah 8.3 juta pengguna telefon bimbit itu sasaran sebenar pengiklan?

Tentu tidak. Iklan di telefon bimbit memerlukan penelitian yang telus dan mendalam. Ia memerlukan segmen untuk mencapai sasaran berdasarkan produk atau perkhidmatan tersendiri.

Iklan melalui telefon bimbit adalah menyokong terhadap promosi untuk meningkatkan kesedaran mengenai jenama produk dan perkhidmatan.

Tidak mudah untuk mendapatkan maklumat pengguna terutama nombor telefon bimbit kerana kita menganggap ia berbentuk peribadi.

Syarikat memerlukan data pengguna untuk mengambil tindakan susulan selepas pembelian. Contohnya pasar raya besar meminta maklumat peribadi pembeli agar mereka dapat menghantar promosi tertentu tetapi pengguna pasti tidak mudah memaklumkan perkara itu.

Pengarah Media, Perunding Pakar Media Sdn Bhd, Raja Zulkarnain Shah Raja Izhar, berkata terdapat banyak faktor untuk memungkinkan kejayaan mesej melalui telefon bimbit.

“SMS dan MMS berbentuk iklan boleh membosankan orang ramai apatah lagi ia amat terhad kerana tidak banyak perkataan yang boleh dimasukkan,” katanya.

Menurutnya, pengguna inginkan iklan yang boleh dilihat dengan jelas seperti di akhbar atau televisyen berbanding di telefon bimbit mereka.

“Jika mesej melalui telefon bimbit itu bertujuan mencipta kesedaran atau makluman, ia mungkin berjaya berbanding iklan mengajak orang datang ke kedai membeli produk,” katanya.

Katanya, pengiklan perlu tahu sasaran mereka dengan jelas untuk menyampaikan maklumat dengan berkesan selain perlu sokongan medium lain untuk berjaya.

“Iklan dalam telefon bimbit menyokong apa yang ada di televisyen atau akhbar, bukan iklan utama,” katanya.

Katanya, kejayaan Akademi Fantasia yang mengumpul jutaan ringgit melalui SMS adalah menyokong program realiti itu sendiri.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pengiklanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairuddin Othman, berkata bentuk pengiklanan melalui telefon bimbit kurang efektif di Malaysia.

“Ia tidak mampu menarik minat orang ramai untuk membeli produk apatah lagi informasi terkandung dalamnya tidak cukup meyakinkan,” katanya.

Menurutnya, mesej yang disampaikan terhad kerana berbentuk perkataan walaupun pengguna telefon bimbit di Malaysia meningkat saban hari.

“Jika kita memberikan iklan bergambar, ia menyempitkan ruang untuk SMS. Malah imej dipaparkan tidak cukup besar untuk menarik perhatian orang ramai,” katanya.

“Iklan sebegitu perlu ayat yang bersesuaian selain topik yang tepat. Contohnya, pengguna perlu menelefon nombor tertentu untuk mendapatkan maklumat tambahan,” katanya.

Khairuddin berkata, walaupun pengiklan mensasarkan pengguna tertentu, ia masih belum mampu melawan medium lain seperti majalah khas yang lebih mempunyai ruang untuk menyampaikan maklumat.

“Iklan dalam telefon bimbit belum berjaya melainkan ia mempunyai ruang besar untuk menampilkan imej atau video yang memberikan impak baik kepada pengguna,” katanya.

Beberapa perkara perlu diambil kira jika mahu menjadikan telefon bimbit medium pengantar maklumat kepada pengguna kerana ia mempunyai pro dan kontra.

Pengguna di Malaysia menganggap SMS atau MMS berbentuk iklan tidak boleh dipercayai seratus peratus, lihat saja penipuan melalui SMS oleh pihak tertentu mengenai Akademi Fantasia.

Rakyat di negara ini memerlukan pengiklanan bersifat fizikal di mana mereka dapat melihat dengan jelas apa yang ada depan mata untuk dihakimi.

Perlu diingatkan iklan di telefon bimbit sebagai medium menyokong, bukan medium utama seperti televisyen, radio, akhbar atau majalah.

Bagaimanapun, pengiklanan di telefon bimbit masih baru dan boleh diterokai. Tidak mustahil suatu hari nanti ia mampu menjadi media utama untuk menyalurkan mesej kepada pengguna berkaitan produk atau perkhidmatan.

Skim Cepat Kaya Internet Haram Disisi Agama

Sumber : harakahdaily.net

KUALA LUMPUR,27 Feb (Hrkh) - Dengan pulangan yang berlipat ganda dan jaminan keuntungan ratusan ribu malah jutaan ringgit dalam tempoh singkat, pelbagai perniagaan yang berasaskan sistem Multi Level Marketing (MLM) di internet, semakin ‘menggoda’ umat Islam untuk melabur walaupun sebahagian besarnya dari sudut hukum agama jelas haram.

Penasihat Syariah Dalaman, Asian Finance Bank, Zaharuddin Abd Rahman berkata umat Islam perlu berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan sistem kewangan di internet yang menyamai skim cepat kaya atau skim piramid yang berisiko tinggi dan perlu merujuk kepada pakar kewangan Islam sebelum menceburinya.

“Apa jua pelaburan yang diceburi, mestilah merujuk kepada penasihat syariah syarikat tersebut supaya dengan cara ini diketahui secara jelas bahawa pelaburan tersebut sah di sisi agama ataupun tidak,”katanya lagi ketika ditemubual Harakahdaily di pejabatnya sebentar tadi.

“Dan sebahagian besarnya tidak wujud majlis penasihat syariah serta tidak jelas produk yang diusniagakan,” katanya.

Beliau sebelum ini yang telah membuat beberapa kajian tentang pelaburan internet seperti EM-Pay, Swisscash, Willyfund dan E-Barrel telah menjelaskan secara terperinci kaedah tersebut dan hukumnya dimuatkan dalam keluaran Harakah lalu dan juga dalam laman webnya www.zaharuddin.net.

Kebanyakannya pelaburan di internet yang dikenal pasti secara umumnya menjurus kepada kaedah ‘mencari’ orang untuk menambah pendapatan dan tiada produk yang diniaga malah seandainya ada pun ianya bersifat haram kerana terdapat unsur judi dan gharar (tidak jelas) yang ditegah di dalam Islam, jelasnya.

Dalam laman webnya Zaharudin turut menjelaskan salah satu syarikat EM-Pay yang diragui perniagaannya seolah-olah “perniagaan timbun dan kutip wang dari orang ramai dan kad diskaun,” seperti contoh seorang individu melabur RM 138, dan dan dalam tempoh dua minggu EM-Pay memberi pulangan RM 32,000 dan ini dinamakan Riba Al-Fadhl katanya yang merujuk kepada (Mughni al-Muhtaj, Khatib Ash-Sharbini, 2/28 ; Al-Bada’I As-Sonai’ , Al-Kasani, 5/183 ; Qadhaya Iqtisodiyyah Mu’asiroh, Dr Sulaiman Al-Asyqar, 2/592).

“Ia jelas katanya bukanlah perniagaan yang diiktiraf oleh Shariah, malah ia adalah Riba,” katanya.

Tanpa menjual sebarang produk malah sistem ini secara amnya melanggar ‘nature of business’ atau fitrah ekonomi yang akan mengakibatkan ramai yang tidak bekerja, malas dan berangan kaya semata-mata menantikan keuntungan yang dijanjikan.

“Inilah yang dinamakan ‘money game’ yang diharam sama sekali di dalam Islam. Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan Riba.

“Bukan semua MLM tetapi jenis yang ‘bermain dengan kepala’ (komsiyen ikut kepala dan berapa ramai ahli yang berjaya diperolehi dan bukannya komisyen jual barangan syarikat) jelas haram disisi agama,” jelasnya terperinci dalam laman webnya.

Tambahnya lagi ia adalah perniagaan duit dan ‘kepala’ iaitu tajaan kepala dan setiap bagi mendapatkan satu ‘kepala’ atau ‘lot’ adalah perlulah membayar sejumlah wang.

“Walaupun sememangnya kelihatan amat menggiurkan tetapi malangnya, ia adalah tidak halal secara pasti tanpa syubhah lagi,” katanya lagi

Selain itu, walaupun dengan alasan untuk menjana ekonomi pendapatan umat Islam sekalipun katanya namun perkara pokok halal haram sesuatu perkara jangan dikesampingkan sedangkan ‘niat tidak menghalal cara’ dan Islam tidak meletakkan material ataupun harta benda semata-mata kepada asas memulihkan ekonomi umatnya ini termasuk jugalah alasan untuk mengubah keadaan kewangan yang semakin terhimpit dan bebanan kos sara hidup yang tinggi yang menimpa umat Islam khususnya rakyat di negara ini.

Beliau turut kesal dan kecewa berikutan umat Islam terpengaruh dan terpedaya akibat daripada keyakinan untuk menceburi pelaburan ini disebabkan diyakinkan oleh sesetngah individu yang bergelar ‘ustaz’ dan ahli dalam pengetahuan agama.

“Yang saya dahulukan ialah kepentingan umat Islam dan tanggungjawab saya sebagai umat Islam untuk menjelaskannya, sama ada ada yang bersetuju atau tidak itu terpulanglah,” katanya yang turut menyatakan bahawa kapasiti beliau bukanlah sebagai seorang Mufti namun menyarankan para Mufti mengeluarkan fatwa berkaitan sistem ini.

“Kajian saya terhadap sistem ini,tidak tertumpu kepada benar atau tidak keuntungan yang dijanjikan, wujud muslihat atau sebaliknya tetapi tertumpu sama ada ia menepati kehendak syariah dan sah di sisi agama,” katanya

“Dan jangan meletakkan ‘ustaz’ sebagai ‘benchmark’ atau ’standard’ untuk menceburi bidang sedangkan yang perlu dititik beratkan ialah hukum agama,” katanya biarpun ramai para Ustaz menceburinya termasuk skim tertentu yang mungkin sah dari segi undang-undang ataupun pernah dilancarkan oeh para menteri.

Disember tahun lalu, akhbar pernah melaporkan sekurang-kurangnya wujud 50 laman web internet tempatan yang dikesan menjanjikan rakyat negara ini mengikuti skim jutawan segera antaranya bermodal RM 2.00 dan mendapat pulangan RM 1 juta dalam tempoh seminggu ataupun sebulan.

Malah dalam akhbar yang sama, jurucakap Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) berkata laman web seperti ini memang banyak dikesan tetapi tidak ramai yang membuat laporan polis selepas terpedaya atau kerugian besar akibat pelaburan yang dibuat.

“Memang semua orang mahu menjadi jutawan tetapi perlulah mengikut cara yang betul dan bukannya berangan melabur beberapa ringit dan mengharap jutaaan ringgit sebagai pulangan,” kata jurucakap tersebut. - mks.

—-

Jika anda ingin belajar tentang kewangan islam dari Ustaz Zaharuddin sila ke laman web beliau di http://www.zaharuddin.net

Anda juga boleh bertanyakan soalan di yahoo groups beliau di

http://groups.yahoo.com/group/zaharuddin/

Update 30 April 2007:

Blog terbaru Pelaburan Islam, banyak lagi artikel berkaitan yang perlu anda baca:

http://pelaburanislam.com

Semoga rezeki kita halal dan diberkati Allah.Amin

Apa Itu Ebook / Ebuku ?

Tajuk ini sangat asas tapi masih relevan dengan sesetengah rakyat Malaysia.Saya ada menjual pelbagai jenis ebook dan seringkali mendapat pertanyaan seperti ini ” Kalau saya buat bayaran bila buku tu akan sampai kepada saya”, kebanyakannya dari jualan ebook bukan dalam kategori perniagaan internet

Padahal dalam web tu langsung saya tak sebut perkataan buku atau book sebaliknya ebuku atau ebook.Jelas masih ada yang keliru dan sedih sekali bila saya cuba terangkan definasi ebook ramai yang tak jadi beli.Agaknya kerana tak faham dan takut tak tau cara menggunakannya.

Baiklah, secara ringkasnya ebook adalah electronic book atau buku elektronik iaitu dalam bentuk digital yang fungsinya hampir sama seperti buku biasa.Tetapi ebook dibaca melalui komputer atau peralatan elektronik lain seperti pda, handphone, ebook reader dan pelbagai lagi.Format pdf adalah yang paling popular buat masa ini dan anda memerlukan perisian Adobe Reader untuk membacanya.Ianya boleh didownload secara percuma di http://www.adobe.com/products/acrobat/readstep2.html

Kebanyakan ebook boleh dicetak semula jika anda rasa kurang selesa membacanya melalui komputer.Kalau ebook tu dalam Bahasa Inggeris anda boleh suruh perisian Acrobat tu membacanya untuk anda tapi saya lebih rela baca sendiri sebab susah nak faham apa yang disebutnya.Nak dia bacakan tekan Shift+Ctrl+B, pause tekan Shift+Ctrl+C dan kalau dah menyampah tekan Shift+Ctrl+E.Kalau suruh dia baca ebook Bahasa Melayu pun dia baca juga tapi …cuba dulu dan dengar ajelah sendiri ya, baru tau.

Dari segi pengedaran pula ebook boleh diedarkan secara serta merta.Jika ebook percuma selalunya memang begini dan ebook berbayar juga boleh jika anda memilih cara bayaran kad kredit / paypal dimana sebaik proses bayaran dilengkapkan anda akan terus mendapat download linknya.

Itulah serba sedikit maklumat tentang ebook, harap tak ada lagi tanya soalan yang sama tu.Nak tahu lebih lanjut tafsiran ebook sila rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/E-book Jual ebook ni seronok juga, modal sekali boleh jual balik berulang kali tapi yang tak bestnya mudah sangat diedarkan semula secara tidak sah oleh mereka yang tak bertanggungjawab.

5 Kesilapan Pemasaran & Cara Mengelakkannya

Kesilapan Pemasaran #1 :
Cuba membuat jalan baru walaupun orang lain sudah membina lebuhraya

“Don’t reinvent the wheel” atau jangan cuba mencipta roda baru (tiada roda lain yang boleh menggantikan roda yang wujud pada hari ini!). Buat kajian anda sendiri. Apa yang berkesan sebelum ini dan yang penting apa yang berkesan pada masa sekarang.

Perkara pertama yang anda boleh lakukan ialah kaji semula segala promosi yang telah dijalankan dan hasil yang dicapai sebelum ini. Perkara kedua ialah dapatkan dan baca iklan atau promosi orang lain dan lihat apa yang dilakukan oleh mereka. Ini bakal memberi kelebihan kerana anda boleh melihat dari pelbagai sudut dan mengenalpasti strategi pemasaran yang berkesan. Anda mesti belajar untuk merendah diri dan berani belajar daripada orang lain untuk berjaya. Apabila anda melihat sesuatu yang berjaya, cipta yang lebih baik daripada contoh tersebut.

Kesilapan Pemasaran #2:
Menulis kata-kata penyedap dan bukannya memberi faedah mengapa orang mesti membeli produk anda

“Sesungguhnya kami akan lakukan yang terbaik untuk anda”. Apabila seorang penjual e-book cuba menyakinkan anda dengan kenyataan tersebut, adakah anda akan terus mengeluarkan kad kredit dari dompet anda? Sudah tentu tidak.

Jadi apa yang boleh anda tawarkan?

Okay, bagaimana dengan sampel bab percuma. Atau jaminan wang akan dipulangkan dalam 30 hari jika tidak berpuashati. Atau testimoni dari pelanggan anda. Anda juga boleh menulis satu laporan yang menceritakan kepada prospek bagaimana anda dapat idea untuk menulis e-book berkenaan… Adakah ianya berkesan? Sudah tentu. Dan ingat…

Jangan bimbang jika anda terlebih cakap dalam iklan anda kecuali iklan anda membosankan.

Dan jangan tunjukkan mimik muka hairan bahawa orang tidak akan membaca surat yang panjang. Menurut Gary Halbert seorang lagenda pemasaran, syarat yang perlu untuk setiap teknik pemasaran ialah…

Lebih banyak anda beritahu, lebih banyak anda menjual.

Kecuali : Anda menulis dengan teruk!

Kesilapan Pemasaran #3:
Memikirkan bahawa pelanggan anda adalah lebih bijak daripada anda

Apabila menjual, jangan gunakan ayat yang panjang kerana ianya boleh mengelirukan pelanggan anda. Gunakan perkataan yang ringkas. Gunakan perenggan yang pendek, walaupun anda menulis kepada peguam atau doktor. Gunakan bahasa yang mudah. Walaupun pelanggan anda boleh membaca ayat yang canggih, mereka lebih suka membaca ayat yang mudah difahami.

Oleh itu jadikan ianya mudah, ringkas dan ingat…

Pelanggan anda tidaklah begitu bijak seperti yang anda fikirkan

Kesilapan Pemasaran #4:
Melupakan bahawa kebanyakan orang pernah “terkena” pada masa yang lepas. Akhirnya mereka tidak percaya dan merasa ragu-ragu dengan tawaran anda

Terdapat 3 sebab mengapa orang (mereka yang mempunyai wang) tidak membeli apa yang anda tawarkan:

Pertama, mereka memang tidak berminat dengan apa yang anda tawarkan

Kedua, mereka tidak nampak kebaikan membeli produk yang anda jual

Dan ketiga, mereka tidak membeli kerana mereka tidak percaya produk yang anda jual akan mengubah hidup mereka. Dengan kata lain mereka tidak percayakan anda.

Cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memberi keterangan yang penuh. Keterangan sepenuhnya mengenai jaminan bahawa mereka boleh mendapat wang mereka semula jika produk anda tidak seperti yang mereka fikirkan. Keterangan sepenuhnya mengenai kos anda, mengapa anda menjual pada harga yang murah atau mahal. Berikan testimoni daripada pelanggan yang pernah membeli daripada anda, berikan sampel percuma. Yang penting anda buatkan mereka percaya dengan tawaran anda.

Kesilapan Pemasaran #5:
Tidak meminta pertolongan, terutama daripada mereka yang mempunyai perniagaan yang sama dengan anda

Jangan segan untuk minta nasihat daripada orang lain. Orang yang berjaya biasanya suka menolong dan memberi bimbingan kepada orang yang memerlukan. Telefon atau e-mel mereka yang berjaya dalam bidang yang sama dengan anda, dan tanya bagaimana mereka boleh menolong menyelesaikan masalah yang anda hadapi. Ingat.. anda bukannya keseorangan, dan orang lain pernah melalui jalan yang anda lalui. Dan…

Hampir semua masalah yang anda hadapi, telahpun diselesaikan oleh orang lain

Ingat 5 kesalahan pemasaran, ianya mungkin jawapan kepada kejayaan anda!

Sumber : Syed Akil, http://tinyurl.com/fv9r9

Menjana Pendapatan di Internet

Online? Dotkom? e-Bisnes? Masyarakat kini semakin mengenali perkataan teknologi Internet. Internet adalah ruang dagangan antarabangsa, di mana anda dapat memperkembangkan perniagaan ke seluruh dunia dengan konsep kedai buka 24 jam, 7 hari seminggu, dan jualan berterusan ke pelanggan di pelbagai negara, kaum dan jantina.

Di dalam artikel ini saya akan bawa anda mengetahui beberapa tips bagaimana menjana duit melalui internet dan apa yang harus dielakkan

1. Mengaturcara Web Kedai Anda
Adakah anda mempunyai produk atau servis yang ingin dipromosi?. Tanpa mengira sama ada anda mempynyai perniagaan fizikal, atau anda seorang pekerja yang bekerja dari rumah sahaja. Kuncinya adalah membuat satu laman web secara profesional, mempromosi laman web ini melalui online atau peralatan offline, dan selalu mengemaskini isi kandungan yang berada di dalam website anda. Sekiranya anda mengambil serius dalam web kedai anda, pilihan syarikat mereka laman web patut diberikan pertimbangan sewajarnya. Pilih parti yang boleh bekerja lebih dari “mereka bentuk laman web” sahaja, dengan menawarkan anda tips yang baik dan nasihat yang berguna bagi meningkatkan laman web anda, dan kemudahan bagi penerimaan pembayaran secara online

Kebanyakan laman web yang menarik yang boleh anda hasilkan merangkumi

* Penghantaran kek dan biskut (samada untuk hadiah atau sempena musim perayaan)
* Pakar dalam pakaian - menjahit, menyulam, mengait
* Perkhidmatan editor dan penulisan - Pengalihan bahasa, penulis bebas

Dengan hanya mengunakan kemahiran dan kekuatan anda, anda pasti boleh mencari sesuatu yang sesuai untuk laman web anda. Ia memerlukan bukan sahaja usaha individu, rakan anda, dan mempunyai laman web dengan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk dipromosi.

2. Sertai program Affiliate
Mempunyai masa, dan ingin melakukan sesuatu secara online tetapi tidak mempunyai produk atau terhad untuk dijual? Atau, laman web anda hanya untuk bersosial dan tidak berdasarkan meraih keuntungan? Pertimbangkan untuk menyertai program affiliate bagi mendapatkan aliran ke laman web anda.

Kebanyakan program affiliate juga mempelawa sesiapa yang tidak mempunyai laman web untuk menyertai program ini dengan hanya mempromosi produk / servis melalui email, atau mempromosi melalui rangkai affiliate anda (nombor rujukan/id). Kebanyakannya juga akan menawarkan anda laman web affiliate secara percuma, yang bukan “laman web”anda secara sah, hanya bertujuan menjual produk syarikat.

Jangan menyertai banyak program affiliate, dan melimpahi laman web anda dengan pelbagai sepanduk affiliate. Pilih program affiliate yang diingini pelawat, dan juga rakan anda. Pastikan anda membaca cetakan yang bagus dalam program affiliate ini berdasaran bayaran perujuk per transaksi, amaun pengumpulan minima bagi pembayaran, pembahagian komisen pelanggan, dan latarbelakang syarikat.

3. Perdagangan online
Cuba lihat laman web Iklaneka di internet, atau laman web lelong. Daripada menjual pakaian lama anda, ke pengumpul barangan seperti duit, anda akan terkejut dengan amaun barangan yang terdapat dalam laman web tersebut .Iklaneka dan lelongan sebegini mempunyai persamaan dengan versi ‘jualan garaj’, seperti sekarang anda mempunyai pelawat global yang akan melihat barangan anda 24 jam sehari. Sesetengah laman lain termasuk www.ebay.com dan iklaneka yahoo! Meletakkan barangan anda di dalam laman web ini secara percuma, x dollar per senarai, atau % per jualan.

Sebagaimana disebut “dotcom, dan dotcon”. Adakah anda pernah menyaksikan skim internet yang menjanjikan bayaran yang mengagumkan? Secara purata, saya menyaksikan 15 skim internet dan menawarkan asas harian, seperti diberikan bayaran sekiranya membaca email, membuka iklan, membuat pelaburan internet dengan prestasi yang tinggi dan banyak lagi.

Dengan membayangkan email ini dihantar ke jutaan pengguna internet harian, ia akan hanya mengambil 1% tindakbalas bagi memberikan syarikat ini jutaan dollar mereka Kebanyakan yang biasanya adalah seperti berikut:

a) Dapat bayaran untuk melayari - anda dikehendaki mendaftar di laman web beberapa kali sehari atau muat turun browser ke desktop mereka, dan membaca iklan/melihat laman web syarikat yang mengenakan bayaran kepada pengiklan dan menghadiahkan ahli yang mana mencukupi kuota.
Kesilapan : Ia akan mengambil masa bagi melengkapkan kuota dipilih untuk skim pembayaran, sekiranya anda boleh menyelesaikannya. Bila tibanya masa pembayaran, amaun anda akan dipotong oleh caj pentadbiran (kadangkala boleh menjadi hingga 20% daripada jumlah bayaran. Senario yang teruk sekali ialah menutup terus laman web sebelum ahli lain menerima pembayaran mereka. Salah satu laman web yang terkenal yang memberikan bayaran untuk melayari ialah AllAdvantage, yang ditutup walaupun mempunyai jumlah pertumbuhan ahli yang pesat.
Mutasi bagi skim ini merangkumi diberikan bayaran untuk menerima sms, membaca email dan mendengar iklan radio online.Walaubagaimanapun, sekiranya anda ingin mencubanya, anda perlu menyemak dulu beberapa isu terlebih dahulu:

1. Berapa jumlah yang akan dibayar untuk membaca setiap email?
2. Apakah tanggungjawab anda selain membaca emails, contoh beberapa skim memerlukan anda menekan rangkai laman web selain email
3. Boleh rakyat Malaysia menyertainya? Kebanyakan skim hanya untuk rakyat Amerika Syarikat sahaja.
4. Apakah amaun minima bagi pembayaran?
5. Berapa lama masa yang diambil untuk memperolehi bayaran? Ingat, anda akan dicaj utk melayari internet dan bil telefon untuk membaca email
6. Bagaimana bayaran dibuat dan adakah ia dikenakan caj? Sekiranya bayaran dibuat
melalui cek AS, maka bahagian signifikasi akan dikenakan caj oleh bank.

b) Pengubahan Wang Haram – Skim ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu, bermula dengan penerimaan surat dan faks, dan kini menjadi lebih berteknologi tinggi dengan pesanan email. Skim ini memberitahu anda bahawa pengirim ( kebanyakan dari sebuah negara di Benua Afrika) mempunyai sejumlah wang, mencari bantuan anda untuk membawa jumlah ke dalam akaun anda, dan sekiranya berjaya, anda akan ditawarkan x peratus daripada jumlah ini. Bunyinya nampak seakan benar mereka benar-benar mengenali anda untuk peluang ini.
Kesilapan: Banyak ahli perniagaan, dan golongan remaja yang terjebak dalam skim ini kerana tamak, dan selepas membuat transaksi, beberapa orang telah dibunuh selepas bertemu dengan pengirim, kehilangan sejumlah wang daripada akaun bank, atau pengenalan mereka dicuri untuk jenayah.

c) Pemasaran ML online – syarikat yang menjanjikan anda pulangan yang baik melalui skim piramid, dan skim mutilevel. Walaupun tanpa lesen yang sah daripada kerajaan, alasan yang diberikan kepada anda bagi internet, mereka tidak terikat kepada undang-undang tempatan. Ingat isu perdagangan kerajaan Malaysia iaitu Skim cepat kaya? Banyak yang terjerumus dalam skim ini. Skim ini tidak salah dengan program affiliate (di mana anda boleh menyertai secara percuma, dengan produk dan perkhidmatan sebenar). Periksa melalui latar belakang syarikat, adakah sesiapa telah benar-benar menerima bayaran cek?
Kesilapan : Jika ada sebarang yang silap, kepada siapakah anda akan berpaling sekiranya syarikat tidak lagi didaftarkan kepada sebarang pejabat Malaysia, dan orang yang memperkenalkan skim ini hanyalah ahli biasa? Jika skim pemasaran ML online dipromosi secara tradisional, samada melalui perjumpaan peluang perniagaan, jualan fizikal, ia benar-benar berisiko untuk menyertainya. Salah satu skim pemasaran ML online yang terkenal di Malaysia ialah SkyBiz(beli laman web online, di mana kebanyakan ahli tidak membuatnya)

Secara kesimpulan, terdapat banyak cara menjana wang online di Internet, tetapi sepanjang mengikut cara tersebut, anda terikat melalui pelbagai jenis skim. Pilihannya, ialah mengenalpasti skim ini dan membuat pilihan yang bijak sebelum menyertainya.

———————–
Sumber: MyHome4Work.net

Perniagaan Internet . Usahawan Internet is proudly powered by WordPressEntries (RSS) and Comments (RSS). • xMark Theme by: Lisa Sabin-Wilson